Mengenang peristiwa Siti Hajar cari air


Blog For Free!


Archives
Home
2005 May
2005 April
2005 March
2005 February
2005 January
2004 December
2004 November
2004 October
2004 September
2004 August
2004 July

tBlog
My Profile
Send tMail
My tFriends
My Images

Sponsored
Create a Blog!



Mengenang peristiwa Siti Hajar cari air
12.31.04 (11:34 pm)   [edit]
Kisah isteri Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang ditinggalkan berdua di padang pasir kering kontang perlu dihayati oleh setiap umat Islam, terutama mereka yang mengerjakan haji dan umrah.

Pengorbanan, ketaatan dan kasih sayang yang ditunjukkan Siti Hajar dalam menempuh dugaan itu menjadi pengajaran penting yang perlu diteladani oleh umat Islam.

Perjalanan Siti Hajar yang berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Ismail menjadi antara rukun haji iaitu saie.

Saie pada istilah syarak adalah berjalan sebanyak tujuh kali perjalanan ulang-alik yang dimulai dari Safa dan berakhir di Marwah. Saie adalah salah satu rukun haji yang wajib dilaksanakan oleh setiap jemaah yang melaksanakan manasik haji berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Safiah binti Syaibah, ertinya:

“Bahawa sesungguhnya seorang perempuan telah memberitahu kepada Safiah bahawa dia telah mendengar Nabi Muhammad saw bersabda; antara Safa dan Marwah telah diwajibkan kepada kamu melakukan saie, maka hendaklah kamu bersaie.” (Hadis diriwayat Ahmad)

Saie adalah syiar (lambang kemegahan) agama Islam seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan ibadah haji ke Baitullah, atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie` (berulang alik) antara kedua-duanya. Dan sesiapa yang sukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi maha mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 158)

Dalam peristiwa itu juga, air zamzam ditemui.

Diriwayatkan, Siti Sarah ialah isteri Nabi Ibrahim yang sangat cantik dan beriman. Dalam pada itu, Nabi Ibrahim diberi seorang hamba wanita bernama Siti Hajar oleh seorang raja Mesir.

Siti Hajar pada asalnya seorang puteri raja yang ditakluki Raja Mesir itu.

Nabi Ibrahim selepas berkahwin dengan Siti Hajar kembali ke Palestin bersama Siti Sarah. Baginda hidup tenang dan damai, namun dalam hatinya, baginda menginginkan seorang anak lelaki.

Itulah rintihannya yang sering mengganggu tidur dan membuatkan baginda sedih.

Ia disedari Siti Sarah dan beliau sering berdoa kepada Allah supaya dikurniakan keturunan yang akan menghibur dan menggembirakan hati Nabi Ibrahim.

Namun doa itu masih belum dikabulkan Allah.

Pada suatu hari, Siti Sarah berkata: “Aku sangat sedih kerana tidak dapat memenuhi keinginan kamu memperoleh anak lelaki. Penyelesaian di fikiranku adalah kamu sebaiknya bergaul dengan Siti Hajar yang suci dan beriman itu. Dia pasti dapat memberi kita anak yang akan membawa cahaya, kegembiraan dan mengubati penderitaan kita kerana ketiadaan anak."

Nabi Ibrahim menolak cadangan itu dan menjelas bahawa baginda pasti menyesal jika berlaku pertelingkahan antara Siti Sarah dan Siti Hajar pada kemudian hari.

Namun, Siti Sarah tetap meminta suaminya menerima cadangan itu. Akhirnya, Nabi Ibrahim akur dan berkahwin dengan Siti Hajar.

Tidak berapa lama kemudian, Siti Hajar hamil dan Siti Sarah membantu menyediakan segala keperluannya.

Akhirnya, Siti Hajar melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Ismail. Nabi Ibrahim gembira dan menyangka kegembiraan itu turut dikongsi oleh Siti Sarah.

Di sebaliknya, Siti Sarah cemburu tanpa disedari. Perasaan itu makin membuak setiap hari hingga beliau membantah dan marah kepada Nabi Ibrahim dan Siti Hajar.

Nabi Ibrahim berusaha mencari penyelesaian dengan mengajak Siti Sarah merenung kembali peristiwa awal baginda menikahi Siti Hajar, namun ikhtiar itu tidak berjaya.

Keinginan Siti Sarah memiliki anak semakin terasa apabila melihat Ismail mula membesar, namun beliau tidak mahu menyakiti hati Nabi Ibrahim yang disayangi. Beliau meminta baginda membawa Siti Hajar dan anaknya pergi jauh dari rumah mereka supaya hatinya tenang.

Nabi Ibrahim melakukan solat istikharah meminta pertolongan Allah diberikan jalan keluar daripada masalah itu.

Allah mewahyukan kepada baginda supaya segera membawa isteri dan anaknya ke suatu tempat yang dikehendaki-Nya.

Nabi Ibrahim memenuhi perintah itu dan berjalan menempuh padang pasir yang kering hingga sampai ke Baitul Haram.

Tempat Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim yang dikatakan padang pasir tandus tidak bermanusia itu, adalah kota Makkah sekarang. Mulai saat itu mula sejarah Makkah dengan Telaga Zamzamnya.

Siti Hajar bulat menyerahkan nasibnya kepada Allah. Dengan sabar dan tenang, beliau makan bekalan yang masih ada padanya. Diminum pula air yang masih tinggal. Akhirnya semua makanan dan air habis. Tinggallah ibu dan anak menunggu nasib dengan perut yang kosong dan lapar, suatu penderitaan yang tidak pernah dialami manusia lain.

Anaknya yang masih memerlukan susu, jangankan akan mendapat susu, air mentah saja pun tidak ada di situ. Perut semakin lapar, kerongkong semakin kering dan minta dibasahi dengan air.

Panas terik padang pasir tidak pula kepalang tanggungannya, sedangkan badannya yang mulanya kuat sekarang sudah beransur kurus dan lemah pula. Tidak ada daya dan ikhtiar yang dapat dijalankan, selain mencucurkan air mata sebanyak-banyaknya. Dengan air mata itulah, hanya keadaan kering itu dapat dibasahkan sedikitnya.

Disebabkan lapar dan dahaga, Ismail menangis sekuat-kuatnya. Tetapi akhirnya kelemahan badan tidak memberikan kekuatan lagi kepadanya untuk menangis, selain hanya terisak-isak. Matanya mulai kuyu, badannya semakin kurus. Akhirnya anak malang itu memperlihatkan reaksi yang sukar diceritakan sama sekali, seakan-akan akan putus nafasnya kerana terlalu dahaga.

Siti Hajar mencuba sekuat tenaga mempertahankan jiwa anak dan sabar atas dirinya sendiri. Tetapi, apa yang dapat dia lakukan? Akhirnya, anak yang sudah payah keadaannya itu diletakkannya di atas pasir, sedangkan dia sendiri pergi mencari air. Kemudian kembali melihat muka anaknya. Siti Hajar kemudian pergi mencari air dan lari pula mendapatkan serta melihat wajah anaknya yang ditinggalkan itu. Demikianlah seterusnya berturut-turut, antara dua tempat yang sekarang ini dinamakan Safa dan Marwah.

Setiap kali kembali mendapatkan anaknya, Siti Hajar melihat tanda adanya air di tempat yang bernama Safa itu. Tetapi setelah didatanginya, tidak ada air sama sekali. Lalu, beliau kembali ke tempat anaknya, iaitu Marwah. Demikianlah berturut turut tujuh kali pergi dan balik.

Anak kelaparan yang ditinggalkan sendirian itu semakin resah dan menangis hingga tidak bersuara lagi. Kasihan, sayang, letih dan ikhtiar dengan segala tenaga. Tetapi semua sia-sia belaka.

Akhirnya, Siti Hajar duduk, tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Siti Hajar menoleh ke wajah anaknya yang dicintai sambil peluh mengalir bercucuran dari dahinya.

Dengan titik peluh dibasahi bibir anak yang sudah amat kering itu. Alangkah gembiranya Siti Hajar kerana dilihatnya anak itu masih hidup. Anak itu dicium dan dirangkul ke dadanya rapat-rapat. Nampak pula dengan jelas bahawa anak yang kecil itu sendiri turut sama mengeluarkan air mata.

Hanya kepercayaan terhadap Allah, menjadikan Siti Hajar tidak berputus asa. Dengan kepercayaan ini saja beliau menghadapi kesedihan yang tidak dapat dibendung. Dengan kepercayaan ini pula, beliau yakin yang akhirnya bebas juga daripada kesedihan ini.

Setelah ternyata yang anaknya masih hidup, Siti Hajar kembali meninggalkan Ismail, mencari air di tengah-tengah gurun pasir.

Siti Hajar boleh menahan dahaga tetapi anaknya yang masih kecil, Ismail sudah mula menangis kerana berasa haus serta lapar.

Siti Hajar berusaha mencari air. Beliau pergi ke Bukit Marwah yang disangkanya ada air, namun bila sampai tidak menemukan apa-apa. Begitu juga dengan Bukit Safa hingga akhirnya tujuh kali beliau berulang alik mencari air di sana, sedangkan Ismail masih terus menangis.

Dengan kuasa Allah yang Maha Besar, tanah yang dihentakkan kaki Ismail ketika menangis mengalir air yang sangat jernih.

Mereka menikmati rahmat Allah itu. Siti Hajar gembira lalu mengangkat tangan ke langit mengucapkan terima kasih kepada Allah. Beliau menghampiri air itu sambil berkata, `Zammi, zammi, zammi' iaitu mengalirlah, mengalirlah, mengalirlah supaya ia tidak meresap kembali ke tanah berkenaan.

Memang air itu tidak hilang ditelan batu dan pasir tetapi terus mengalir hingga hari ini. Itulah air zamzam yang terletak di samping Kaabah di Makkah dan diminum oleh berjuta-juta jemaah haji.

Pada masa sama, ditakdirkan Allah, akhirnya Siti Sarah turut hamil selepas pemergian Siti Hajar. Beliau melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Ishak.

Sempena bulan haji ini, marilah kita bersama-sama mengenang peristiwa Siti Hajar berulang-alik mencari air di Bukit Safa dan Marwa hingga akhirnya terjadi Telaga Zamzam akibat hentakan kaki Nabi Ismail. Begitulah besarnya kuasa Allah yang Maha Besar.

 
Your Name:


Your Comment:


Free Web Counters
Overstock Coupon


moon phases